Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2006-10-25 - 2:48 a.m.

Reality TV Shows—More real than Real?

‘How can I be racist?,’ ujar seorang daripada kenalan saya yang duduk semeja. ‘I voted for Taufik during Singapore Idol!’

Walaupun nadanya secara bersenda, tetapi ucapannya tetap menunjukkan bagaimana sebuah pertandingan adubakat mungkin bukan perlawanan kebolehan semata-mata. Pada bulan Disember tahun 2004, dua finalist, Taufik Batisah dan Sylvester Sim, bertentangan suara di gelanggang Indoor Stadium. Pihak media sering menyifatkan pertandingan di antara kedua-dua penyanyi itu sebagai ‘a contest of styles’—Sylvester, dengan imej ‘bad boy’-nya memiliki identiti seorang rocker, dan Taufik pula lebih selesa dengan dodoian lunak R&B.

Apa yang jarang disebutkan adalah sesuatu yang mungkin terlalu nyata: Sylvester seorang penyanyi berbangsa Cina, sementara Taufik pula berbangsa Melayu (walaupun keturunan Bugis/Boyan dan India, Taufik tetap dianggap sebagai seorang anak Melayu—lebih-lebih lagi setelah mendendangkan lagu ‘Belaian Jiwa’ semasa adegan ‘Asian Pop’).

Masih segar di ingatan bagaimana apabila keputusan diumumkan, ramai yang berasa bahawa warganegara Singapura sudah mencapai sebuah tahap kematangan sosial. Walaupun Taufik Batisah jelas seorang minoriti, dia tetap dapat meraih kemenangan yang memuaskan, menarik kira-kira 62% daripada jumlah undi seluruhnya. Pada pendapat ramai, ini menjadi sebuah contoh bagaimana warganegara Singapura lebih mementingkan bakat daripada latarbelakang etnik para peserta. Juara Singapore Idol 2004 menjadi sebuah lambang semangat berbilang bangsa.

Saya akui kurang selesa dengan pihak-pihak yang terlalu ghairah menonjolkan kemenangan Taufik Batisah sebagai bukti bahawa masyarakat Singapura tidak lagi mengenal bangsa. Ambillah contoh rakan saya yang agak ‘confident’ menyiarkan pendiriannya yang ‘tak racist’. Pada saya, itu suatu pengumuman yang agak ‘superficial’—jika ia hanya berdasarkan menekan butang SMS untuk menghantar undi kepada seorang peserta Singapore Idol. Tak kisahlah kalau kenalan saya tidak mempunyai lebih daripada tiga butir nama Melayu yang terselit di dalam telefon bimbitnya, atau gemar benar memanggil saya ‘Mr Sa’at’, walaupun ‘Sa’at’ itu nama bapa saya.

Saya bukanlah menuduh kenalan saya itu sebagai seorang yang ‘racist’ kerana tidak tahu bahawa perkataan ‘Bin’ itu ertinya ‘anak kepada’. Tapi saya kurang yakin sokongan yang diberikannya kepada peserta yang bukan bangsanya sendiri dengan serta-merta menjadikannya seorang yang celik dan ‘colour blind’. Apabila keputusannya terlalu disebut-sebut dan diheboh-hebohkan, maka jelas bahawa kenalan saya masih kekok dan terlalu sedar diri tentang isu-isu bangsa.

Tiba tahun 2006 pula, dan kedua-dua finalist di dalam pertandingan Singapore Idol 2 terlalu mirip Sylvester dan Taufik. Pengganti Sylvester adalah Jonathan Lim, seorang berbangsa Cina yang juga cenderung kepada irama dan personaliti rock. Keturunan Taufik pula muncul di persona Hady Mirza, dengan suara bernada tinggi yang sesuai menggayakan lagu-lagu R&B. Bak kata orang Perancis, seperti deja vu begitu. Mungkinkah Hady Mirza dapat mengikut jejak tapak Taufik sebagai Singapore Idol Melayu yang kedua?

Hadi bukan sahaja dimahkotakan Singapore Idol, tetapi membaham ratusan undi yang lebih tinggi daripada Taufik—di dalam lingkungan 70%. Sekali lagi, saya tidak akan hairan jika kemenangan Hady disanjung sebagai bukti bahawa para pengundi tidak mengendahkan bangsa. Warga negara Singapura hanya terdiri daripada 14% orang Melayu, jadi ia bermakna bahawa kebanyakan penyokong Hady Mirza terdiri daripada pengundi yang bukan berbangsa Melayu.

Apa yang perlu ditekankan ialah sistem pengundian Singapore Idol tidak sama dengan sistem pengundian di dalam sesebuah ‘parliamentary democracy’, ataupun ‘demokrasi dewan perwakilan’. Di dalam sistem dewan perwakilan, setiap orang hanya terhad kepada sebuah undi sahaja. Di dalam sistem pengundian Singapore Idol, sesiapa sahaja yang mempunyai talian telefon boleh membuang seberapa banyak undi yang diinginkan—jumlahnya tidak terbatas. Apa yang mungkin menjadi penghalang adalah kos setiap undi, iaitu 60 sen setiap panggilan ataupun SMS. Bagaimanapun, ini jelas tidak menghalang mereka yang sanggup bebrbelanja ratusan dolar untuk menyokong idola mereka.

Di dalam sistem sebegini, kaum Melayu di Singapura dapat mengatasi hakikat yang mereka adalah ‘numerical minority’ di Singapura. Kerana jumlah undi tidak terbatas, mereka dapat merasakan apa ertinya membuang undi majoriti. Mereka seakan-akan dapat menjamah perasaan dapat mempengaruhi kejadian dan menguasai keputusan. Jikalau demokrasi itu seperti sebuah pertandingan, rasanya seperti menganggotai pasukan yang lebih perkasa.

Pada pendapat saya, jikalau Singapore Idol membolehkan peserta mencapai impian menjadi bintang, ianya juga membolehkan sebuah kaum minoriti mencapai impian menjadi majoriti, walaupun seketika. Pada suatu masa, Singapura mempunyai beberapa kawasan undi di mana pengundi Melayu membentukkan majoriti utama. Kawasan-kawasan tersebut termasuk Kampong Kembangan, Geylang Serai dan juga Pulau-pulau Selatan. Dengan projek-projek seperti pemindahan beramai-ramai akibat ubanisasi, ataupun quota kediaman yang diperkenalkan oleh HDB (di mana ratusan penghuni Melayu di sebuah estet tidak dibenarkan melampaui 20%), hampir setiap kawasan undi di Singapura boleh dikatakan terdiri daripada majoriti kaum Cina.

Tidak hairanlah jikalau Singapore Idol telah memberi peluang bagi sebuah minoriti untuk menyuarakan hakikat kewujudan mereka. Kerana proses mengundi di dalam sistem tersebut memakan belanja, kebolehan mengundi juga secara tidak langsung membuktikan adanya sesebuah kaum yang memperolehi ‘spending power’.

Berbalik semula kepada isu bangsa, ada yang kurang selesa dengan anggapan bahawa kebanyakan penyokong Hady Mirza terdiri daripada kaum Melayu. Pada mereka, ini sesuatu yang kurang sihat kerana ianya seakan-akan mengandungi unsur-unsur perkauman. Saya sendiri sering berasa risau jikalau saya didesak menyokong Hady seolah-olah ianya sesuatu kewajipan sebagai seorang Melayu.

Saya akui berasa separuh hati tentang isu sokongan berdasarkan bangsa. Saya tidak setuju dengan taktik di mana kaum Melayu di Singapura ‘berpakat’ untuk menaikkan seseorang simbol yang dapat melambangkan kecemerlangan masyarakat mereka. Ini kerana ianya memperkecilkan bakat yang diperolehi oleh lambang yang terpilih dan menarik perhatian kepada warna kulitnya.

Walaupun begitu, saya sedar bahawa keinginan ‘role model’ ataupun ‘symbols of excellence’ amat ketara di antara kaum minoriti di seluruh dunia, tak kiralah di Singapura ataupun di mana-mana sahaja. Keputusan Malaysian Idol, di mana pemenangnya selama dua tahun berturut-turut bukan peserta Melayu (Jaclyn Victor dan Daniel Lee) mungkin boleh diterangkan oleh fenomena kesepaduan minoriti yang telah saya sebutkan. Mungkin ramai yang menyaksikan pertandingan ‘realiti’ seperti Singapore Idol sebagai hiburan semata-mata, tetapi terdapat pelbagai ‘realiti’ yang tersirat—contohnya realiti kehidupan di dalam masyarakat berbilang bangsa.

 

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!